Muar Isytihar Darurat.

Kualiti udara di daerah Muar kini berada pada tahap sangat berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 746 pada pukul 4 petang semalam.

Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, pada pukul 7 pagi, bacaan IPU di Muar mencatat angka 276 dan kemudian meningkat kepada 373 pada pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, bacaan IPU di daerah itu kemudiannya diklasifikasikan sangat bahaya apabila ia mencecah 746 pada pukul 4 petang.

"Keadaan jerebu di Muar semakin buruk semalam dan bagi memastikan ia dapat dikurangkan, Bilik Gerakan Bencana Alam akan merangka pelan tindakan melibatkan lapan agensi kerajaan di sini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Muar berkata, agensi yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Tanah, polis, Pejabat Pendidikan Daerah, bomba, Pejabat Kesihatan, Pejabat Pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Di JOHOR BAHRU, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam Sekitar ketika dihubungi berkata, IPU di Pasir Gudang mencatatkan bacaan 190, Kota Tinggi (192) manakala Larkin Lama (170), yang kesemuanya pada paras tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md. Jais Sarday berkata, keputusan untuk membuka semula sekolah pada Isnin ini di beberapa daerah yang ditutup berikutan masalah jerebu akan diketahui esok.

Keadaan jerebu semakin buruk di negara ini sejak kelmarin disebabkan oleh Ribut Bebinca dari Macau yang menjadikan tiupan angin lebih kencang dan kering serta membawa sekali jerebu dari arah Sumatera, Indonesia.







No comments:

Post a Comment