Konflik Perniagaan Kain, Warga Pakistan Di Bom.


Kota Kinabalu: Polis tidak menolak kemungkinan faktor dendam menjadi punca seorang lelaki warga Pakistan maut terkena bom ikan dalam kejadian di Kampung Air Semporna, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu kemungkinan didalangi pesaing mangsa yang turut menjalankan perniagaan menjual kain di sekitar daerah berkenaan.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menyiasat motif sebenar kes ini dan gerakan memburu suspek masih giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya yakin kejadian itu membabitkan lebih daripada seorang suspek seperti dinyatakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada 12 Jun lalu.

“Setakat ini polis sudah mengambil keterangan empat rakan senegara mangsa yang menetap di rumah sewa berkenaan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, Attaulah Hukmat Khan, 35, terbunuh selepas terkena bahan letupan dipercayai bom ikan ketika tidur di ruang tamu rumah terbabit.

Letupan turut menggegarkan rumah berhampiran, manakala empat rakan mangsa sempat keluar melalui tingkap menyelamatkan diri.

No comments:

Post a Comment