GAMBAR menunjukkan wajah anak
perempuan Duanbiao yang berkahwin di Jinjiang.
JINJIANG, China - Seorang ahli
perniagaan di sini, Wu Duanbiao bermurah hati apabila beliau memberikan
hantaran mencecah 1.01 bilion yuan (RM495 juta) menjelang perkahwinan serba
mewah seorang anak perempuannya, menurut beberapa laporan semalam.
Menurut akhbar The South China
Morning Post, antara hadiah perkahwinan yang diberikan ahli perniagaan itu
termasuk empat kotak barang kemas yang diperbuat daripada emas, sebuah buku
akaun bank bersama deposit 20 juta yuan (RM9.9 juta) dan portfolio hartanah.
Duanbiao merupakan pengerusi
firma seramik tempatan, Fujian Wanli Group.
Selain itu, beliau memberikan 500
juta saham dalam firmanya yang bernilai lebih 100 juta yuan (RM49.5 juta)
kepada pasangan pengantin baharu tersebut.
Menurut laporan media tempatan,
usahawan berkenaan turut menghulurkan derma berjumlah 15 juta yuan (RM7.4 juta)
kepada dua buah badan amal di China.
Beliau juga menghadiahkan sebuah
kereta Mercedes dan Porsche.
Seorang jurucakap firma Duanbiao
mengesahkan hantaran tersebut tetapi menafikan majlis perkahwinan itu akan
berlangsung selama lapan hari berturut-turut.
Menurutnya, majikannya mahu
mengadakan acara yang ringkas tetapi meriah.
Sebelum ini, sebuah akhbar
mendakwa beliau akan mengadakan majlis perkahwinan selama lapan hari bermula 28
Disember tahun lalu untuk menjamu tetamu dalam kalangan orang awam.
Pengantin lelaki yang merupakan
seorang kakitangan awam sudah mengenali isterinya sejak dari zaman prasekolah.
Bagaimanapun nama anak perempuan
Duanbiao itu tidak didedahkan.
Pada bulan lalu, seorang lagi
bilionair di sini mengahwinkan anak perempuannya dengan jumlah hantaran lebih
2.48 bilion yuan (RM1.2 bilion).
No comments:
Post a Comment