Gambar hiasan. |
Melaka, 13 Jun - Seorang guru wanita, daripada keluarga berada, yang membuat simpanan tetap di sebuah bank di negeri ini kerugian RM19.2 juta dipercayai ditipu seorang pegawai di bank itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt Soh Hock Sing berkata wanita berusia 47 tahun itu membuat simpanan antaranya dalam bentuk cek, bank draf dan tunai sejak 2010 selepas suspek dipercayai menawarkan kadar bunga yang tinggi untuk simpanan tetap.
"Sejak itu mangsa membuat 81 transaksi dan 80 daripadanya telah dikeluarkan slip penerimaan manakala satu belum diterima," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa mahu memeriksa penyata akaun simpanan tetapnya pada awal tahun ini namun dihalang suspek dengan memberikan pelbagai alasan.
Katanya pada awal bulan ini, mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan diberitahu beliau tidak mempunyai sebarang akaun simpanan tetap.
Wanita berkenaan katanya kemudian membuat laporan polis pada 7 Jun lepas selepas mendapati dirinya ditipu.
Soh berkata hasil siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai membuat satu akaun lain menggunakan nama wanita itu untuk memindahkan wang berjumlah RM19.2 juta melalui internet ke tiga akaun lain milik tiga lelaki.
"Sejumlah RM11 juta berjaya dikesan dalam akaun yang dicipta pegawai berkenaan dan RM1.2 juta di akaun seorang daripada lelaki itu, sementara RM7 juta lesap," katanya.
Sehubungan itu, polis kini giat mengesan pegawai bank terbabit yang dikenali sebagai Chua Ken Juan, 28, beralamat terakhir di Taman Kerjasama Bukit Beruang di sini. Dia telah menghilangkan diri sejak 4 Jun.
Soh berkata polis turut mencari seorang rakannya Low Kim Hsen, 25, yang beralamat di Bukit Baru, di sini.
Beliau berkata dua lelaki berusia 25 dan 42 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan telah ditahan Isnin lepas bagi membantu siasatan
No comments:
Post a Comment